Kisah Polis Malaysia - M. Thamotharan dan T. Egamulan | SEMUA mata tertumpu di sebuah rumah papan yang telah dikepung kira-kira 30 anggota polis. Di dalam rumah itu terdapat seorang penjenayah yang diburu kerana telah menembak seorang anggota polis dan orang awam.
Dua anggota polis, M. Thamotharan dan T. Egamulan yang berada di luar rumah itu, saling berpandangan sambil mengangguk kepala tanda memahami isyarat masing-masing.
Tanpa berlengah Thamotharan yang mesra dipanggil Thamu terus melompat masuk melalui tingkap ke dalam rumah itu dan berlindung di sebalik almari.
Sebaik sahaja menjengah kepala sambil mengacu pistol ke depan, suspek betul-betul berada di depan Thamu dan turut mengacu pistol ke arah beliau.
Disebabkan masih kurang berpengalaman dan terkejut dengan situasi itu, Thamu bertindak melompat semula keluar dan menembak ke udara untuk memberi amaran kepada suspek.
Suspek yang panik akhirnya menyerah diri dan berjaya ditahan selepas itu.
"Semasa siasatan, saya sempat bertanya suspek, kenapa dia tidak tembak saya ketika itu, dia cakap ketika itu pistolnya sudah kehabisan peluru," ujar Sarjan M. Thamotaran sambil tersenyum menceritakan detik cemas yang dilaluinya 27 tahun lalu di sebuah kawasan di Bachang, Melaka.
Beliau yang kini bertugas sebagai detektif Bahagian Penyelidikan/Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memberitahu, disebabkan peristiwa yang mendapat liputan meluas media itu jugalah, bapanya menyuruh beliau berhenti sebagai polis dan sanggup membayar sebulan gaji bagi tujuan itu.
"Bagaimanapun disebabkan saya berjiwa polis dan terlalu meminati kerjaya ini, saya tidak mengikut arahan itu dan meneruskan juga kerjaya ini," kata bapa kepada dua orang anak ini ketika ditemui baru-baru ini.
Ekoran peristiwa itu juga nama Thamu dan Egamulan yang bertugas sebagai anggota mata-mata gelap di Ibu Pejabat Polis Melaka Tengah ketika itu terus digeruni penjenayah.
Digelar Starsky & Hutch
Bukan apa, kerana sebelum itu gabungan mereka dalam penyiasatan sering membawa kepada kejayaan hingga mereka menerima jolokan Starsky & Hutch seperti watak siri drama polis Hollywood.
Thamu yang digelar Hutch berkata, ketika itu di mana saja bertugas, pasti beliau akan meronda bersama Egamulan yang turut dikenali sebagai Param.
"Egamulan banyak mengajar saya ketika itu kerana saya baru saja menyertai polis selepas tamat kursus latihan konstabel.
"Kami berdua juga pernah memberkas banduan terakhir daripada 16 tahanan yang sudah lebih 10 hari melarikan diri daripada penjara.
"Tahanan tersebut diberkas di Jalan Munshi Abdullah, Melaka ketika dia sedang merayau-rayau di kawasan itu," katanya yang sudah 22 tahun bertugas bersama JSJK.
Bercerita mengenai penglibatannya dalam pasukan Sang Saka Biru itu, Thamotharan memberitahu, beliau yang meminati kerjaya polis sejak dari kecil memohon menyertai pasukan itu ketika dia berusia 20 tahun.
Jelas Thamotharan, beliau segera mengambil borang permohonan di Balai Polis Kuala Selangor apabila melihat iklan pengambilan anggota PDRM di suratkhabar ketika itu.
Katanya, semasa menghantar borang kemasukan serta menghadiri temuduga, tiada seorang pun ahli keluarganya yang tahu mengenai perkara itu.
"Malah saya terpaksa meminta pertolongan daripada seorang pekerja di sekolah tempat saya belajar dulu untuk mengisi borang tersebut kerana kurang mahir dalam Bahasa Melayu ketika itu.
"Selang beberapa minggu saya menerima surat menyatakan saya terpilih untuk menjalani Kursus Asas Kadet Konstabel di Pusat Latihan Polis Ayer Hitam Negeri Sembilan selama enam bulan.
"Ketika itu keluarga tidak memberi apa-apa halangan kerana mereka faham saya memang meminati kerjaya polis sejak dari kecil lagi," ujar anak kelima daripada tujuh adik beradik ini.
Sebaik sahaja tamat latihan tersebut, beliau ditugaskan di IPD Melaka Tengah hinggalah dipindahkan ke JSJK Bukit Aman pada 1991.
Sifu komersial
Bercerita mengenai tugasnya di JSJK, Thamu memberitahu, semasa mula dipindahkan ke jabatan itu, beliau langsung tidak mahir mengenai soal-soal berkaitan jenayah komersial.
"Saya langsung tidak tahu apa itu syarikat Sendirian Berhad atau Berhad, apa itu kredit kad atau debit kad, malah kad ATM juga saya tidak tahu kerana sering keluarkan duit menggunakan buku akaun sahaja.
"Saya mengambil masa lebih kurang dua bulan untuk belajar selok belok jenayah komersial kerana amat berbeza dengan jenayah-jenayah lain," katanya.
Kata beliau, perbezaan antara jenayah kolar putih dan jenayah jalanan ini ialah pelakunya terdiri daripada mereka yang berpendidikan tinggi dan amat licik mengatur strategi.
Kini selepas 22 tahun berkhidmat dalam jabatan itu, beliau digelar sebagai sifu kerana sering memberi penerangan kepada orang ramai mengenai jenayah komersial ketika jabatan itu melakukan pameran di tempat awam.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20130416/te_01/Kehebatan-M-Thamotharan#ixzz2Qi5PhBT6
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment