MINAT...orang ramai melihat sendiri model Proton Inspira selepas perasmiannya di Shah Alam, semalam.
PROTON Holdings Bhd (Proton) yang melancarkan model sedan terbaru Inspira secara rasmi semalam, menurunkan harga asal model itu kepada RM78,999 seunit berbanding RM79,888 yang diumumkan sebelum ini untuk menjadikannya lebih murah dan mampu dimiliki semua golongan tanpa mengurangkan nilai tambah yang dihasilkan.
Pengenalan itu bakal mengangkat nama Proton dalam industri automotif bukan saja dalam negara, malah di peringkat antarabangsa berikutan Inspira model terbaik pernah dihasilkan Proton kerana mempunyai gabungan terunggul terutama dari segi prestasi enjin.
Pengarah Urusannya, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, walaupun pada mulanya Proton Inspira ditawarkan dengan harga permulaan RM79,888 seunit, kini harga atas jalan untuk model Proton Inspira 1.8 M/T hanya RM78,999 seunit.
Katanya, tanpa mengurangkan elemen penting pihaknya mengambil pendekatan terbaik menurunkan harga asal yang dianggarkan.
“Walaupun Inspira dibangunkan hasil kerjasama Proton dengan Mitsubishi Motor Corporation (MMC), ia tidak bermakna Proton hanya membuat salinan dengan menukar logo dan tanda jenamanya semata-mata, malah 40 peratus daripada kerjasama itu adalah prestasi dibangunkan Proton sendiri.
“Selain itu kami akan sentiasa menjalankan penyelidikan untuk menjadikannya 60 peratus adalah sentuhan daripada Proton sendiri dan kami juga tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana negara selain Jepun kerana fokus utama adalah untuk memajukan industri automotif negara,” katanya di majlis pelancaran Proton Inspira di Shah Alam, semalam.
Hadir sama mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Proton, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh.
Beliau berkata, sambutan terhadap Inspira juga melepasi jangkaan dan amat memberangsangkan dan ia dilihat berada di landasan terbaik untuk dieksport ke luar negara, namun masih di dalam perbincangan.
Lebih menarik kepada pelanggan awal yang menempah Proton Inspira sebelum 15 November ini akan menerima pakej servis percuma dua tahun atau 50,000 kilometer termasuk percuma kos bahagian perkhidmatan dan tenaga pekerja yang bernilai lebih RM1,658.
Selain itu, harga untuk Proton Inspira 1.8 CVT juga dikurangkan menjadi RM84,999 manakala Proton Inspira 2.0 CVT pula RM91,999.
Untuk maklumat lanjut mengenai Proton Inspira boleh melayari www.protoninspira.com atau kunjungi bilik pameran Proton Edar yang berdekatan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment