SUBANG JAYA: Hanya kerana mahu mendapatkan laporan perubatan mengenai penyakitnya, seorang wanita berusia 25 tahun cedera di muka dan badan selepas ditumbuk serta dipijak doktor yang merawatnya di sebuah klinik swasta, di sini, kelmarin.
Malah, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, doktor berusia 40 tahun terbabit turut mengugut untuk menyuntik mangsa dengan ubat didakwa mengandungi racun yang boleh membunuh.
Tidak cukup dengan itu, tunang mangsa berusia 27 tahun yang cuba menenangkan keadaan selain mendapatkan penjelasan mengenai tindakan ganas doktor terbabit turut diserang dan dipukul. Menurut sumber, sebelum kejadian mangsa yang sudah tiga minggu mengalami demam dan belum pulih walaupun beberapa kali mendapatkan rawatan di klinik terbabit meminta doktor itu mengeluarkan laporan perubatan tahap kesihatannya.
“Ini kerana mangsa mahu mendapatkan rawatan di klinik lain disebabkan kecewa kerana masih tidak sembuh biarpun sudah lama mendapatkan rawatan di klinik itu.
“Mangsa mendakwa dia bimbang dan hairan mengapa penyakitnya tidak sembuh walaupun doktor terbabit mengatakan dia hanya demam biasa.
“Tindakan mangsa menyebabkan doktor itu berang dan dia mula memarahi serta memaki hamun mangsa menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya.
Sumber itu berkata, doktor terbabit yang gagal mengawal kemarahannya menumbuk muka mangsa menyebabkan wanita itu terjatuh sebelum badannya dipijak. “Mangsa berlari keluar dari bilik rawatan dan meminta pertolongan tunangnya yang menunggu di tempat letak kereta. Namun, ketika tunang mangsa cuba mendapatkan penjelasan dia diserang doktor terbabit yang meluru keluar dari kliniknya,” katanya.
Menurutnya, selepas doktor itu berhenti menyerang dan masuk ke dalam klinik mangsa bersama tunangnya meninggalkan tempat kejadian. Bagaimanapun, doktor itu keluar semula dari klinik dan menerkam ke arah pasangan itu sambil menunjukkan satu jarum suntikan yang didakwanya memiliki ubat beracun yang mahu disuntik ke badan mereka.
“Pasangan terbabit bagaimanapun bernasib baik kerana berjaya melarikan diri walaupun dikejar suspek,” kata sumber itu.
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment