ArTiS Lari Dari CuKai??

on Wednesday, May 19, 2010



SETIAP kali diminta untuk berkongsi cerita tentang berapa bilangan kereta mewah yang dimiliki, barang-barang berjenama atau ingin membuat sesi fotografi di kediaman mewah yang dimiliki segelintir artis tempatan, ramai daripada mereka lebih gemar memilih untuk tidak memberitahu atau mendedahkan aset yang dimiliki kepada umum.

Selain merendah diri dan enggan menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimiliki, ada juga di kalangan mereka bimbang jika pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjaya menjejaki mereka untuk pembayaran cukai pendapatan.

Dalam hal ini, sebenarnya baik bagi golongan artis yang berharta ataupun tidak mewah, mereka perlu melunaskan tanggungjawab mereka sebagai seorang rakyat memandangkan ia merupakan satu mekanisme perkongsian sumber kekayaan oleh setiap rakyat.

Mungkin ramai yang tidak faham bagaimana cara pengiraan pendapatan dalam pembayaran cukai yang dikenakan kerana bimbang jika jumlah yang dikenakan nanti di luar kemampuan diri.

Bagi golongan artis, termasuklah penghibur awam iaitu seniman pentas, radio atau televisyen, ahli muzik, atau seseorang individu yang menjalankan apa-apa profesion dan vokasion atau mata pencarian yang berkaitan, mereka berada di bawah Seksyen 2 Akta Cukai Pendapatan 1967.

Layanan terhadap individu yang diwajibkan membayar cukai atau layanan cukai adalah berdasarkan kepada punca pendapatan seseorang tanpa membezakan latar belakang, kedudukan mahupun populariti.

Contohnya, sekiranya seseorang artis itu bekerja dengan sebuah produksi dan hanya menerima gaji tetap sama ada secara bulanan atau tahunan serta wujudnya hubungan pekerja - majikan (melalui Employment Contract), maka mereka ini dianggap sebagai mempunyai pendapatan penggajian dan mereka perlu mengisi Borang BE untuk mengistiharkan jumlah pendapatan penggajian mereka.

Sementara, artis yang tidak menerima bayaran secara tetap dan tiada Contract of Employment maka ia dianggap sebagai bekerja sendiri dan menjalankan profesionnya sebagai penghibur.

Aktiviti seninya disokong oleh Contract of Service iaitu sebuah kontrak ditandatangani antara artis dengan pihak produksi atau pihak penaja produk yang mengambil artis tersebut sebagai duta produk.

Selain itu, ada juga keadaan di mana terdapat artis yang terikat dengan majikan melalui Contract of Employment dan pada masa yang sama, artis tersebut juga dibenarkan mendapatkan pendapatan luar melalui Contract of Services dan mereka dianggap sebagai bekerja sendiri.


Maka, layanan cukai mereka sama seperti peniaga pemilikan tunggal di mana mereka perlu mengisi Borang B dan terdapat bahagian daripada perbelanjaan urusan mereka dalam menjana pendapatannya sebagai artis/selebriti seperti perbelanjaan minyak petrol, tol, jurusolek artis serta belanja gaji pengurus agar dibenarkan membuat potongan bagi mengurangkan jumlah pendapatan bercukai.

Bagi golongan artis ini, Penyata Kira-Kira perlu disediakan sebelum meletakkan jumlah cukai pendapatan mereka.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim, jumlah pendapatan yang layak dikenakan cukai mengikut Tahun Taksiran 2010 ialah RM26,834 setahun bagi individu-individu yang dibayar gaji hasil daripada pekerjaan masing-masing.

"Bagi golongan artis pula yang menjadikan kerjaya mereka sebagai profesion, mereka wajib mendaftar nombor fail cukai pendapatan dan mengisytiharkan pendapatan tahunan mereka serta melakukan taksiran.

"Bagaimanapun, jika pendapatan mereka kurang daripada RM26,000, biasanya, mereka tidak dikenakan sebarang cukai. Jumlahnya lebih kurang sama seperti orang lain. Jadi tidak adil bagi orang lain jika para artis lepas pandang tentang hak ini.

"Pihak kami faham, biasanya para artis memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk tampak cantik dan menarik. Dan terdapat sejumlah wang yang perlu dikeluarkan. Tetapi mereka boleh mendapatkan pelepasan untuk tolakan sebagai perbelanjaan. Artis luar negara juga membayar cukai pendapatan sebanyak 15 peratus daripada pendapatan yang diterima ketika membuat persembahan atau penggambaran di sini.

"Usah risau kerana, apa yang dikutip oleh kerajaan melalui LHDN akan dipulangkan semula kepada mereka dalam bentuk nikmat pembangunan dan kemakmuran.

"Sepatutnya mereka tidak perlu rasa terbeban kerana layanan cukai ke atas mereka sama sahaja dengan pembayar cukai yang lain. Cukai ini untuk kebaikan mereka dan generasi akan datang juga," tegasnya.

Tambahnya, walaupun masih ramai yang berdiam diri dengan tidak mendaftar nombor fail cukai, pihak LHDN sentiasa menggerakkan unit-unit perisikan dan siasatan untuk mengesan golongan yang melarikan cuba melarikan diri.

"Selain itu, pihak LHDN juga menggalakkan sesiapa sahaja yang ada maklumat berkenaan dengan golongan yang mengelak cukai untuk melaporkannya secara rasmi melalui laman web rasmi, www.hasil.gov.my. Pemberi maklumat akan menerima ganjaran sewajarnya bagi setiap ketepatan maklumat dan membuahkan hasil.


"Pihak LHDN juga boleh melakukan audit melalui syarikat produksi dan penaja produk.

"Maklumat ini kemudiannya akan digunakan untuk aktiviti siasatan mahupun audit ke atas artis berkaitan," katanya.

Hapus cukai

Dalam hal ini, sebenarnya tidak ramai golongan artis yang berpengetahuan mengenai hal pembayaran cukai dan ini membuatkan mereka tidak begitu arif tentang bagaimana cara pengiraan jumlah cukai serta kelonggaran yang diberi.

Penerbit, pengarah dan pelakon popular, Afdlin Shauki berpendapat, pihak LHDN perlu membuat satu sesi dialog bersama para penggiat seni agar hal cukai dapat dibincangkan secara jelas.

"Saya rasa semua orang tahu mengenai tanggungjawab masing-masing dalam hal percukaian. Tetapi bagi golongan artis, walaupun mereka tahu yang mereka dikehendaki membayar cukai pendapatan, mereka terpaksa berfikir dua kali kerana memerlukan perbelanjaan lain.

"Tambah pula bila tawaran dan bayaran hasil kerja yang diterima juga tidak menentu, membuatkan mereka tertanya-tanya adakah cukup jumlah wang yang dimiliki untuk masa yang akan datang.

"Dari aspek lain pula, mereka mungkin tidak tahu kelonggaran yang diberikan. Tapi saya harap pihak LHDN dapat membuat satu sesi untuk para artis agar hal cukai ini dapat diperjelaskan dengan lebih teliti. Sekurang-kurangnya ada pandangan daripada kedua-dua belah pihak.

"Kebanyakan kawan-kawan artis saya bayar cukai, semua ini bergantung pada pemahaman masing-masing. Biasalah, sebagai artis, banyak benda yang mereka perlu bayar. Tapi dengan apa yang kita bayar itu, mungkin boleh mendapat pelepasan daripada pihak LHDN," katanya.

Tambah Afdlin, tidak semua artis tempatan mempunyai kehidupan yang kukuh dan mencadangkan jika diberi pelepasan cukai bagi para artis seperti di negara Ireland yang membuat pengecualian bagi penggiat seni daripada pembayaran cukai pendapatan.

"Lihatlah artis-artis di Ireland, Van Morrison, U2 dan Simple Kid. Sudahlah pendapatan mereka begitu tinggi, mereka diberi pelepasan daripada cukai dan menggantikannya dengan membuat kebajikan.

"Orang selalu membuat persepsi yang menjadi seorang artis adalah sangat senang. Sedangkan para artis tiada gaji bulanan dan apa yang susah ialah, penggiat-penggiat seni adalah golongan yang sukar untuk membuat pinjaman bank. Apa pun, mana yang berkemampuan, saya rasa, menjadi tanggungjawab mereka untuk melunaskan cukai yang masih lagi belum dibayar," ujar Afdlin.

Sementara itu, bagi pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi pula menasihatkan agar artis-artis perlu melantik seorang pegawai yang boleh menguruskan hal-hal pembayaran cukai dengan lebih mudah.

PROFESIONAL. Aznil melantik seorang setiausaha bagi menguruskan segala urusan cukai yang berkaitan dirinya.


Bagaimanapun, katanya, sebagai seorang artis, menjadi satu bebanan bila cukai pendapatan perlu dibayar lebih awal dan ini agak sukar bagi golongan artis yang tidak memiliki gaji tetap.

"Saya mahu memberi contoh, jika seseorang artis itu menerima bayaran yang besar pada hari ini, tidak semestinya jumlah yang diterima itu berterusan untuk bulan-bulan seterusnya.

"Lebih-lebih lagi bila cukai pendapatan sudah membuat taksiran pembayaran lebih awal iaitu pada awal tahun, ini akan membebankan mereka. Melainkan, ia dibayar pada hujung tahun, mengikut jumlah pendapatan yang diterima pada tahun berkenaan. Mungkin ia lebih realistik.

"Apa pun, saya nasihatkan kepada para artis agar melantik seorang pegawai yang boleh menguruskan hal-hal cukai. Macam saya, cukai pendapatan atau persendirian dijaga oleh setiausaha saya dan saya akan diberikan penyata.

"Bagaimanapun, di negara kita, pendapatan bagi penggiat-penggiat seni dalam sektor hiburan bukanlah antara Top 10 yang boleh disumbangkan pada negara dan industri hiburan tempatan tidak mewah seperti negara maju lain.

"Mungkin ada benarnya, buat sementara waktu ini, biarlah cukai pendapatan diberhentikan seketika sehinggalah industri seni tempatan benar-benar kukuh , barulah ia dibuka semula seperti biasa," tegas Aznil.



Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

 
© AkuNilam - All About Army | All Rights Reserved
D.I.Y Themes ByBelajar SEO