Korea Utara tempat peluru berpandu di Laut Kuning
YEONPYEONG, Korea Selatan 28 Nov. - Pyongyang dilapor menempatkan peluru berpandu darat ke darat di tapak pelancarannya di Laut Kuning hari ini, ketika Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan memulakan latihan tentera di perairan itu, manakala China mengumumkan akan cuba mengekalkan keamanan.
Agensi berita Yonhap hari ini melaporkan, Korea Utara telah memindahkan peluru berpandu darat ke darat di barisan hadapan, beberapa hari selepas ia menyerang sebuah pulau kecil milik Korea Selatan yang mengorbankan empat orang.
Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA memberi amaran bahawa Korea Utara akan bertindak balas jika wilayah negara komunis itu diceroboh.
"Kami (Korea Utara) akan melancarkan serangan ganas ke atas sebarang provokasi dan pencerobohan di perairan kami," lapor KCNA.
Pegawai Kementerian Pertahanan Korea Selatan dan ketua-ketua turus tentera enggan mengulas berhubung laporan Yonhap itu.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak memberitahu delegasi China yang melawat negara ini hari ini bahawa Beijing, sekutu kuat Korea Utara yang selalunya keberatan untuk mengkritik negara komunis itu, perlu berusaha lebih banyak bagi membantu mengekalkan keamanan di semenanjung Korea.
Latihan tentera AS-Korea Selaatan di Laut Kuning, perairan yang menjadi pertikaian antara kedua-dua negara Korea itu, diteruskan walaupun menghadapi tentangan daripada China dan ancaman daripada Korea Utara.
Sementara itu, menurut saksi Reuters, pegawai dan wartawan di Yeonpyeong, pulau yang dibedil oleh Pyongyang Selasa lalu, dipindahkan ke tempat perlindungan, hari ini.
Arahan itu, bagaimanapun ditarik balik ekoran laporan tiada berlaku gangguan laluan udara serta kapal.
Agensi berita Xinhua pula melaporkan, Pengerusi Perhimpunan Agung Rakyat Korea Utara akan melawat China Selasa ini. - REUTERS
{ 0 comments... read them below or add one }
Post a Comment